Rebat Pelepasan Cukai SSPN1M-i Plus 2018

Ketahui Bagaimana Jika Anda Mendeposit Kepada Akaun Simpanan Universiti Anak Anda, LHDN Akan Berbesar Hati “Bank-in” Balik Duit Anda!

Apakah Insentif Pelepasan Cukai Sehingga RM12,000 SSPN-i Plus?

Insentif pelepasan cukai ialah salah satu keistimewaan yang dinikmati oleh pendeposit SSPN-i Plus atau SSPN. Walau bagaimanapun pada pandangan saya, ramai yang terlepas pandang berkenaan insentif ini. Lebih malang lagi tinjauan rambang mendapati ada di kalangan rakan-rakan saya yang tidak memahami sepenuhnya hak sebagai warganegara yang membayar cukai.

Jika anda salah seorang pembayar cukai yang mendeposit ke akaun SSPN-i Plus, anda layak kepada 2 insentif pelepasan cukai berikut:

Tajuk Item Dalam e-FilingJumlahKelayakan Daripada
Tabungan Skim Simpanan NasionalRM6,000Akaun Simpanan SSPN-i Plus
Insurans Nyawa dan KWSPRM6,000Caruman Takaful SSPN-i Plus
RM12,000

Andakah Anda Layak Untuk Insentif RM6,000.00 – Tabungan Skim Simpanan Nasional?

Apabila mengisi borang e-Filing pada tahun hadapan, isikan RM6,000 sekiranya anda mendeposit sebanyak RM6,000 ke akaun simpanan SSPN-i Plus. (Kalau kurang pun takde hal).

Jumlah yang diisi akan mengurangkan pendapatan bercukai anda.

Walau bagaimanapun anda mestilah mendeposit ke akaun SSPN-i milik anak (atau anak angkat & anak jagaan yang sah). Jika anda mendeposit ke akaun SSPN diri sendiri… maaf tidak layak. (Jadi niat sedekahlah kepada anak-anak)

Jumlah sebenar yang layak dituntut adalah berdasarkan JUMLAH SIMPANAN BERSIH. Maksudnya, sekiranya terdapat pengeluaran pada tahun ini, jumlah kelayakan yang dibenarkan ialah jumlah deposit masuk, tolak jumlah pengeluaran.

Insentif RM6,000 – Insurans Nyawa dan KWSP

Ramai yang mempunyai caruman KWSP. Tetapi adakah anda mempunyai pelan takaful/insuran nyawa?  Tahukah anda insuran nyawa juga layak menerima pelepasan cukai?

Jumlah yang layak dituntut ialah jumlah caruman tahunan ke dalam akaun takaful SSPN-i Plus. Biasanya jumlah caruman tahunan akaun takaful tidak mencecah sehingga RM6,000. Oleh itu, anda hendaklah merancang deposit anda dan membuat tindakan yang strategik.

Untuk tips BAGAIMANA MEMAKSIMAKAN pelepasan cukai SSPN, sila klik untuk baca lebih lanjut [Berjimat Dengan SSPN-i Plus]

 

 

Bagaimana Untuk Layak Menerima Insentif Pelepasan Cukai Pendapatan LHDN?

Anda layak menikmati insentif pelepasan cukai sekiranya tergolong dalan golongan berikut:

  • Menerima pendapatan tahunan melebihi RM30,000 (bulanan > RM2,500)
  • Majikan membuat potogan gaji LHDN (PCB) setiap bulan, atau membuat bayaran sendiri cukai kepada LHDN secara terus.
  • ada akaun no. cukai dengan LHDN
  • menghantar borang nyata cukai, e-B atau e-BE dalam e-Filing LHDN pada tahun berikutnya.

Sekiranya anda mempunyai status cukai terlebih bayar di dalam borang nyata cukai, pihak LHDN akan berbesar hari untuk “bank-in” balik cukai terlebih bayar ke akaun bank yang anda nyatakan semasa membuat e-Filing.

Berapa Agaknya LHDN akan balik?

Sekiranya anda mempunyai “Cukai Terlebih Bayar” (golongan yang bayar cukai lebih melalui potongan gaji… pemurahnya! ) selepas melengkapkan e-Filing, anda akan memperoleh balik sebahagian daripada cukai yang telah dibayar. Jumlah yang diperoleh adalah berdasarkan formula:

LEBIHAN_CUKAI = JUMLAH_CARUMAN_12_BULAN – (PENDAPATAN_BERCUKAI * TAX_BRACKET)

Bagi yang dalam golongan TAX_BRACKET lebih tinggi akan berpotensi menerima lebih banyak LEBIHAN CUKAI.

Jumlah terlebih bayar ini biasanya akan dikreditkan terus ke akaun bank yang anda nyatakan di dalam e-Filing.

Tarikh Tutup? Bila tarikh Akhir???

Untuk melayakkan anda menerima potongan pada e-Filing yang akan dilengkapkan pada tahun hadapan, deposit ke Akaun SSPN-i Plus mestilah dilakukan sebelum 31 DISEMBER!